Followers

Monday, June 21, 2010






Latar belakang Komanwel.
Komenwel telah ditubuhkan pada tahun 1931 hasil daripada idea Lord Rosebury. Pertubuhan ini ditubuhkan adalah merupakan pertubuhan bagi negara-negara yang pernah dijajah oleh British yang beribu pejabat di London. Seramai 54 buah negara anggota telah menyertai Komanwel. Tujuan penubuhan Komanwel adalah bagi mengeratkan perhubungan dan perpaduan dikalangan negara anggota Komanwel. Selain itu penubuhan Komanwel juga adalah bertujuan untuk membentuk persepaduan di bawah satu pertubuhan dan kerjasama dalam pelbagai bidang dikalangan negara anggota .
Pertubuhan Komanwel juga menjaga kebajikan negara-negara ahli untuk memajukan negara-negara anggota serta memberikan kemudahan dan layanan yang baik dari negara Britain terutama bagi pasaran barangan negara anggota Komanwel di Britain. Di samping itu Komanwel juga memberikan kemudahan pendidikan dikalangan negara anggota melalui Rancangan Pendidikan Komanwel . Pakar-pakar dalam pelbagai bidang juga dapat berbincang untuk meningkatkan lagi kepakaran negara anggota. Syarat-syarat keahlian Komanwel mestilah sebuah Negara merdeka, persamaan taraf dan taat setia kepada Raja Britain.
Pertubuhan ini tidak mempunyai perlembagaan yang bertulis. Selain itu bahasa Inggeris digunakan dalam hubungan antara negara-negara anggota. Raja British (Permaisuri) menjadi ketua pertubuhan ini selain menjadi lambang perpaduan pertubuhan. Sistem pentadbiran dan kehakiman negara anggota berasaskan sistem British. Malah, ciri yang paling ketara ialah semua negara anggota pernah menjadi tanah jajahan British.







Pembabitan Malaysia dalam Komenwel.
Malaysia telah menjadi ahli negara-negara Komanwel semenjak kemerdekaannya pada 1957. Suatu ketika dahulu Komanwel telah menjadi pertubuhan yang kedua penting dalam dasar luar Malaysia selepas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Bagaimanapun menjelang tahun 1980-an, ia telah menjadi tempat keempat .
Sejarah hubungan Malaysia dengan Komanwel boleh dianggap unik kerana sungguhpun Malaysia telah beberapa kali mengkritik peranan serta kewibawaannya secara terbuka, namun Malaysia tetap merupakan salah satu anggota Komanwel yang paling aktif dalam persidangan-persidangan yang dianjurkan oleh Komanwel.
Malahan Malaysia pernah menjadi tuan rumah kepada Persidangan Ketua-ketua Kerajaan Komanwel atau Commonwealth Heads of Government Meeting (CHOGM) pada tahun 1989 serta Sukan Komanwel pada 1998. Dasar luar Malaysia semenjak kemerdekaan telah dipengaruhi oleh keanggotaanya dalam Komanwel .
Pada masa Perang Dingin, iaitu semasa permusuhan antara blok Timur dengan Barat terutama pada 1960-an hubungan Malaysia dengan Komanwel adalah erat. Hubungan ini meliputi tiga aspek yang utama, yakni keselamatan, ekonomi serta pembangunan. Namun, pada masa kini hubungan Malaysia dengan Komanwel lebih tertumpu dalam aspek kerjasama ekonomi. Selain itu, Komanwel juga berperanan sebagai forum antarabangsa bagi negara-negara membangun bersuara .





Peranan Malaysia dalam Komenwel.
Malaysia telah memainkan peranan yang boleh dikatakan amat banyak dalam Komenwel semenjak penyertaanya pada tahun 1957.
Malaysia telah menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap dasar apartheid di Afrika Selatan seterusnya menentang dasar tersebut. Malaysia juga turut menyokong sepenuhnya sekatan ekonomi terhadap Afrika Selatan ketika orang berkulit putih menjalankan dasar apartheid. Selain itu Malaysia menyeru negara maju agar memberi perhatian kepada pertubuhan Komenwel .
Pada tahun 1989, Malaysia telah menganjurkan CHOGM yang telah diadakan di Kuala Lumpur. Malaysia telah membangkitkan isu-isu yang berkaitan dengan alam sekitar dan juga hak asasi manusia dengan mengeluarkan Deklarasi Langkawi yang berkaitan dengan alam sekitar .
Sebagai negara anggota Komenwel, Malaysia telah memberikan maklumat tentang cara-cara menanam pokok getah dan memberikan contoh benih pokok getah yang baik kepada negara Sri Lanka. Di samping itu Malaysia juga turut memberikan biasiswa kepada pelajar Britain, India, New Zealand dan lain-lain negara anggota yang ingin belajar di Malaysia .








Faedah Malaysia menyertai Komanwel.
Terdapat banyak faedah-faedah yang telah dikecapi Malaysia apabila menjadi negara anggota Komanwel. Semasa Malaysia menyertai Komanwel, Malaysia telah memeterai perjanjian pertahanan dengan Britain yang juga telah melibatkan negara New Zealand dan Australia.
Semasa konfrontasi berlaku antara Malaysia-Indonesia, negara Britain, New Zealand dan Australia telah memberikan bantuan ketenteraan kepada Malaysia. Selain itu Malaysia telah menandatangani dan menyertai Perjanjian Pertahanan Lima Negara. Melalui perjanjian ini Britain secara automatik akan memberikan bantuan ketenteraan kepada Malaysia jika Malaysia diserang oleh pihak musuh .
Negara Britain juga banyak menanam modal di Malaysia terutamanya dalam sektor ekonomi perlombongan dan juga sektor perladangan. Pelajar-pelajar Malaysia juga mendapat faedah melalui Rancangan Colombo dengan mendapat biasiswa untuk melanjutkan pelajaran ke Britain, Australia dan juga New Zealand .
Negara Komawel telah membantu Malaysia memelihara keamanan dan kedaulatan negara serta menyekat perjuangan PKM. Perjanjian pertahanan dengan Britain, Australia dan New Zealand telah menjanjikan bantuan jika diserang oleh mana-mana pihak.








Mesyuarat ketua-ketua kerajaan Komanwel (CHOGM).
Sebelum nama CHOGM diperkenalkan, ia dikenali dengan Colonial Conferences pada tahun 1887, kemudian nama tersebut digantikan dengan nama Imperial Conferences sehingga tahun 1937. Seterusnya nama tersebut digantikan dengan Mesyuarat Perdana Menteri Komanwel sehingga dipanggil dengan nama CHOGM pada tahun 1971 sehingga kini. Persoalannya adakah pertubuhan ini masih relevan?.
Mesyuarat ketua-ketua kerajaan Komanwel diadakan dua tahun sekali bagi membincangkan isu-isu semasa antarabangsa yang berkaitan dengan negara-negara anggota. Malaysia menjadi negara tuan rumah bagi CHOGM pada tahun 1989. Semasa mesyuarat itu berlangsung, Malaysia telah mengetengahkan isu alam sekitar dalam mesyuarat tersebut dan hasilnya satu deklarasi telah dapat dicapai iaitu Deklarasi Langkawi Mengenai Alam Sekitar pada oktober 1989 telah mendorong negara anggota yang miskin turut memberi perhatian kepada isu alam sekita ketika negara anggoa sibuk membangunkan ekonomi masing-masing .
Selain itu Malaysia juga turut menyuarakan isu yang berkaitan dengan aparteid di Afrika Selatan yang telah meningkatkan tekanan terhadap rejim Pretoria pada masa itu. Hasilnya negara Afrika Selatan akhirnya bebas daripada aparteid
Sejak akhir-akhir ini CHOGM dianggap kurang relevan sehingga ada sesetengah pihak mepersendakan mesyuarat CHOGM. Sebagai contohnya pada Mac 2002 ketika Australia menjadi tuan rumah, ada dikalangan media negara tersebut mempersendakan CHOGM dengan memberi singkatan ‘Coolum Holiday on Government Money’ percutian di Coolum atas belanja kerajaan .





Selepas mesyuarat diadakan di Coolum, CHOGM diadakan di Malta, keadaan yang sama juga turut berlaku. Mesyuarat tersebut juga diselar sebagai tidak lebih daripada pertemuan sosial antara ketua negara. Begitu juga halnya pada tahun 2007 ketika CHOGM diadakan di Uganda. Persoalannya di sini,adakah Komanwel masih relevan? Sedangkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang dianggap pertubuhan yang dianggotai hampir semua negara juga masih dianggap kurang berkesan? .
Akan tetapi jika diimbas kembali melalui pencapaian Komanwel, banyak keputusan yang telah dicapai melalui mesyuarat CHOGM yang telah berjaya dan memberi manfaat kepada negara anggota dan tidak hanya menguntungkan negara anggota yang maju.
Tabung Komanwel untuk Afrika dan Tabung untuk melawan Aids, misalnya banyak membantu negara di benua itu dalam menangani masalah kemiskinan dan penyakit berkenaan. Begitu juga kerjasama dalam bidang pendidikan, latihan, biasiswa, perdagangan, pembangunan wanita dan kanak-kanak. Berapa ramai rakyat Komanwel termasuk di Malaysia yang mendapat manfaat daripada Pelan Colombo untuk melanjutkan pengajian di luar negara .
Pada tahun 2009, mesyuarat CHOGM telah diadakan di Trinidad dan Tobago. Perdana menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak buat pertama kalinya menyertai mesyuarat ini setelah menjadi perdana menteri yang baharu. Datuk Seri Najib Tun Razak telah mendapat pengiktirafan tersendiri daripada tuan rumah apabila dipilih menghadiri sidang akhbar bersama-sama dengan tiga pemimpin negara lain .






Pemilihan Najib menghadiri sidang akhbar tersebut adalah berikutan pandangan dan pendirian beliau yang berani semasa sesi khas CHOGM 2009 yang membincangkan isu perubahan iklim yang diterima dalam deklarasi. Dalam mesyuarat tersebut, Perdana Menteri menekankan kepentingan dana perubahan iklim yang disumbangkan negara maju bagi membantu negara terjejas tidak dibuat dalam bentuk pinjaman mudah tetapi sebaliknya dalam bentuk geran.
Najib turut menegaskan pentingnya undang-undang yang mengikat. Pandangan itu banyak dikongsi oleh pemimpin negara anggota CHOGM lain yang merasakan sudah tiba masanya isu tersebut dimuktamadkan menerusi undang-undang, bukan sekadar komitmen politik seperti yang selalu dilaungkan oleh kebanyakan negara maju terutamanya Amerika Syarikat yang tidak mahu mematuhi Protokol Kyoto .
Selain itu Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Anifah Aman telah mempengerusikan sayap politik CHOGM iaitu Kumpulan Tindakan Menteri Komanwel yang berkaitan dengan Pengisytiharan Harare (CMAG). Kumpulan ini telah mencadangkan pelbagai cadangan konstruktif kepada CHOGM bagi memperkasakan lagi pertubuhan Komanwel.
CHOGM kali ini juga menerima keanggotaan baru. Rwanda, bukan bekas jajahan British yang sejak beberapa tahun lalu bergelut dengan perang saudara diterima sebagai anggota ke-54 berikutan komitmennya mendukung demokrasi dan nilai-nilai Komanwel.
Sekali lagi kemasukan Rwanda sebagai anggota Komanwel membuktikan badan itu sentiasa mendapat perhatian negara lain. Walaupun ia hanya menambah daftar negara bermasalah dalam CHOGM, tetapi inilah komitmen Komanwel demi kesejahteraan dunia .






Sukan Komanwel 1998
Sukan Komanwel telah diperkenalkan oleh Reverend Astley Cooper pada tahun 1891 bagi Empayar British khusus untuk Empayar British sahaja. Pada tahun 1911 Perayaan Empayar British telah dijalankan di London bagi meraikan pertabalan King George sebagai raja bagi United Kingdom. Perayaan ini telah disertai oleh Australia, Canada, Afrika Selatan dan United Kingdom. Kemudian nama tersebut telah ditukar kepada Sukan Komanwel dan Empayar British pada tahun 1954. Nama tersebut sekali lagi ditukar kepada Sukan Komanwel British pada tahun 1970 dan akhir sekali nama tersebut ditukar kepada Sukan Komanwel pada tahun 1978 dan kekal sehingga ke hari in i.
Sukan Komanwel adalah acara pelbagai jenis sukan. Dilangsungkan setiap empat tahun sekali, melibatkan atlet elit dari negara-negara Komanwel. Kehadiran di Sukan Komanwel biasanya lebih kurang 5,000 atlet. Commonwealth Games Federation (CGF) ialah organisasi yang bertanggungjawab untuk hala tuju dan kuasa Sukan Komanwel. Sukan Komanwel diadakan empat tahun sekali di mana negara anggota secara bergilir-gilir menjadi tuan rumah .
Beberapa buah negara tidak mahu menyertai sukan ini dengan kerajaan British yang pernah menjajah negara mereka. Lantaran itu sukan Komanwel telah dipulaukan oleh beberapa buah negara. Nigeria pernah memulaukan Sukan Komanwel pada tahun 1976 kerana New Zealand telah bertindak menyokong dasar apartheid di Afrika Selatan. Selain itu, 32 negara dari 59 negara dari benua Afrika, Asia dan kepulauan Caribbean memulaukan Sukan Komanwel 1986 kerana Perdana Menteri Britain , Margaret Thatcher menyokong dasar Apartheid di Afrika Selatan. Pemulauan juga terjadi pada tahun 1974, 1982 dan 1990 kerana isu Afrika Selatan.






Sukan Komanwel XVI 1998 telah diadakan di Kuala Lumpur, Malaysia dari 11 hingga 21 September 1998 yang merupakan negara tuan rumah pertama di Asia pada abab ke-20. Temasya ke-16 tersebut telah dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Almarhum Tuanku Jaafar ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman pada 11 september dan telah ditutup secara rasmi oleh Ratu Elizabeth II.
Sebanyak 70 buah negara telah menyertai temasya tersebut dan seramai 3638 atlet telah menyertai sukan yang penuh gilang-gemilang. 15 acara sukan telah dipertandingkan dan Malaysia telah berjaya mengumpul 10 pingat emas.
16th Commonwealth Games
Sukan Komanwel ke-16
















Kesimpulan.
Dasar luar Malaysia dalam keanggotaan Komanwel boleh dianggap sebagai membanggakan. Banyak faedah yang telah diperolehi daripada penyertaan Malaysia dalam Komanwel. Selain itu juga Malaysia dapat menyuarakan pendapat dengan terbuka dalam membincangkan isu-isu yang hangat diperingkat antarabangsa. Malah Malaysia juga dikatakan amat berani menyuarakan pendapat yang dianggap penting terhadap sesuatu isu yang berkaitan.
Sumbangan Malaysia juga amat banyak dalam keanggotaan Komanwel. Malaysia juga telah emainkan peranan yang penting dalam mengetengahkan apa-apa sahaj isu yang berkaitan sejak dari Perdana Menteri dato’ seri dr. Mahatihir lagi. Adalah diharapkan agar Komanwel dapat memainkan peranan yang penting mengenai isu-isu yang berkaitan dengan pembangunan dan alam sekita. Selain itu Komanwel juga diharap dapat membantu negara anggota miskin dalam pembangunan.

No comments: