Followers

Monday, October 26, 2009

Antonio Gramsci dalam perspektif marxisme..



ANTONIO GRAMSCI DALAM GRAMSCIAN MARXISTS.

Antonio Gramsci dilahirkan pada 22 Januari, 1891 di Ales, Sardinia. Beliau merupakan anak keempat daripada 7 orang adik-beradik. Bapanya bernama Francesco Gramsci dan ibunya pula bernama Giuseppina Marcias. Antonio Gramsci merupakan seorang Mahasiswa Fakulti Sastera di sebuah Universiti di Turin iaitu sebuah kota besar pada masa itu yang banyak membuka mata Antonio Gramsci[1]. Selain daripada tuntutan kuliah, kedatangan antonio gramsci ke Turin telah membuka mata beliau dengan kehidupan kota industri yang penuh dengan kemewahan. Namun beliau berpendapat bahawa kota tersebut terlalu kurang dari segi budaya. Beliau juga melihat jarak di antara Kota dan Desa amat jauh, interaksi antara Kota dan Desa serta kepincangan politik antara kelas buruh di Kota dan juga kelas petani di Desa[2].

Kemiskinan dan kesengsaraan yang dialaminya semasa kecil di Sardinia sangat memberi kesan kepadanya sehingga mempengaruhi pemikirannya, sehingga beliau menetapkan untuk menjadi seorang ahli revolusioner. Beliau amat tertarik dengan idea-idea yang dikembangkan oleh Karl Marx tentang golongan proletariat. Karl Marx pernah meramalkan bahawa akan berlaku satu revolusi dimana golongan Proletariat akan bangkit menentang golongan Borjouies kerana penindasan yang berlaku. Namun revolusi yang diramalkan oleh Karl Marx tidak menjadi kenyataan disebabkan oleh beberapa aspek. Oleh itu Antonio Gramsci telah mencari apakah sebabnya revolusi yang diramalkan oleh Karl Marx tidak menjadi kenyataan. Beliau membuat kesimpulan bahawa sistem kapitalisme pada masa kini semakin kuat kerana sistem itu menggunakan apa yang diistilahkan Antonio Gramsci sebagai hegemoni dan menyebabkan apa yang diperjuangkan oleh sistem kapitalis telah diterima oleh masyarakat dunia sebagai satu-satunya sistem yang terbaik dan boleh diguna pakai sekarang[3]. Tiada lagi alternatif lain selain sistem kapitalisme. Hegemoni, menggunakan prinsip-prinsip ‘psychological warfare’ untuk menguasai pemikiran masyarakat dunia sama ada di era moden atau klasik.

Analisis Gramsci mengaitkan hegemoni dengan ‘power’ atau kuasa. Teori Gramsci mengaitkan hegemoni dengan konsep hubungan antara kelas-kelas masyarakat tertentu, di mana kelas-kelas yang lebih dominan akan memonopoli kelas-kelas masyarakat yang lain dari segi ekonomi, budaya dan juga moral. Kelas-kelas yang lain pula akan memberi persetujuan tanpa tekanan atau paksaan kepada pengaruh hegemoni kelas dominan. Ini kerana kelas –kelas dominan ini adalah kuasa hegemoni yang mampu mempengaruhi sesuatu kelas ataupun kumpulan tertentu. Dengan kata lain, Gramsci melihat hegemoni sebagai sebuah konsep yang menggambarkan suatu hubungan yang bersifat ‘monopoli’ dan ‘dominasi’ antara kelas masyarakat atasan dan juga bawahan dalam sesebuah negara bangsa[4].Teori Gramsci juga mengatakan hegemoni mempunyai kaitan dengan kerelaan untuk akur (consent) kepada sesuatu kepimpinan ideologi dan juga politik.

Antonio Gramsci mengutarakan persoalan tentang bagaimanakah kelas pemerintah mendapatkan kerelaan daripada kelas bawahan untuk didominasi dan seterusnya dieksploitasi. Jawapan kepada Antonio itu adalah dengan mengaitkan kepentingan kelas pemerintah atau kelas yang dominan dengan kepentingan kelas bawahan. Sebagai contohnya pembentukan Orde dunia yang diwujudkan oleh Amerika Syarikat adalah berdasarkan kepada beberapa prinsip dan prinsip-prinsip tersebutlah yang berjaya mengukuhkan hegemoni atau dominasi Amerika Syarikat di Negara Dunia Ketiga. Amerika Syarikat menegaskan bahawa kolonialisme atau penjajahan perlu dihapuskan dan Amerika Syarikat akan membantu untuk menamatkan kolonialisme ( penyahjajahan). Jadi dengan mengaitkan atau menghubungkan kepentingan Amerika Syarikat dengan kepentingan Negara Sedang Membangun. Amerika Syarikat berjaya memastikan bahawa Negara Sedang Membangun akur atau rela untuk didominasi oleh Amerika Syarikat.

Hegemoni juga bagi Gramsci boleh digunakan sebagai instrumen bagi mempengaruhi masyarakat dunia dari segi sebagai contohnya penghasilan buku ilmiah, seni dan budaya, komunikasi, dan semua yang berkaitan dengan gaya hidup kita. Gramsci juga mengkritik Karl Marx yang hanya menekankan struktur dalam analisisnya. Di sinilah kelebihan Gramsci yang mengkritik Marx yang hanya menekankan struktur dalam analisisnya[5].

Bagi Gramsci, kuasa yang ada pada struktur yang membentuk masyarakat. Pemikiran Gramsci ini amat relevan dalam analisis globalisasi masa kini yang telah menjadi sebuah kuasa penuh golongan atau negara kapitalis.
Pada bulan Ogos 1917, satu pemberontakan meletus di Turin. Para pekerja buruh di Turin telah bangkit lalu membentuk kumpulan yang menggoyangkan rejim Mussolini. Pusat kota Turin telah di kepung oleh para buruh dan dalam pemberontakan selama empat hari itu, sekitar 500 orang buruh telah terbunuh dan ratusan lainnya telah dihumbankan ke dalam penjara. Bagi Gramsci, peristiwa itu telah mengubah perspektif beliau terhadap politik. Gramsci juga telah dihumban ke dalam penjara oleh rejim Mussolini yang berfahaman Fasis hingga beliau mengakhiri hidupnya dalam keadaan sakit di usia 46. Di dalam penjara itulah lahir karya-karya agung Gramsci seperti ‘Prison Notebooks’[6].

Anderson (1976) menyatakan terdapat tiga model yang berbeza dalam karya Prison Notebooks karya Antonio Gramsci. Dalam model yang pertama, ia berkaitan dengan kepimpinan moral dan budaya yang dipraktikkan dalam ruang masyarakat sivil, manakala pemerintah pula merupakan kuasa penindas melalui polis dan ketenteraan. Dalam model ini, kebanyakan pekerja percaya bahawa mereka telah menggunakan kuasa memilih bagi melantik pemerintah melalui pilihan raya. Namun demikian penindasan akan terus berlaku tanpa disedari dan golongan pemerintah akan terus bertambah kaya manakala golongan rakyat jelata akan terus hidup dalam keadaan yang tidak berubah[7].

Model kedua pula, hegemoni dilihat seperti dipraktikkan dalam negara (state) dan masyarakat sivil. Gramsci menekankan peri pentingnya institusi pendidikan dan perundangan dalam mempraktikkan hegemoni. Hal ini kerana institusi pendidikan merupakan agen utama bagi mempengaruhi masyarakat agar tunduk dan patuh kepada kerajaan yang memerintah dan badan perundangan pula membuatkan masyarakat akur dan menerima setiap dasar yang dibuat oleh kerajaan. Pendidikan dan dasar (policing) adalah aktiviti penting dalam membina kuasa hegemoni di Eropah Barat di awal kurun ke 20.

Antonio Gramsci pernah mengatakan setiap pemerintah adalah beretika selagi fungsinya adalah untuk meningkatkan tahap moral dan budaya masyarakat, tahap di mana ia selaras dengan keperluan pembangunan dalam pengeluaran sekaligus selari dengan kepentingan kelas dominan. Sekolah sebagai institusi pendidikan positif dan mahkamah sebagai institusi pendidikan negatif dan represif adalah aktiviti terpenting pemerintah: namun secara realitinya kedua-dua kaedah ini menuju ke arah matlamat yang sama, yang melibatkan status hegemoni politik dan budaya kelas pemerintah[8].

Justeru itu, maksud hegemoni dalam model yang kedua turut melibatkan paksaan fizikal tetapi dalam bentuk tindakan pihak polis dan penjara melalui pengenalan kepada undang-undang.

Dalam model ketiga pula, hujah Gramsci kelihatan telah menghapuskan perbezaan antara pemerintah dan masyarakat sivil di mana beliau kadang-kadang merujuk pemerintah sebagai gabungan masyarakat politik dan masyarakat sivil. Antonio Gramsci berpendapat pemerintah seharusnya difahami bukan sahaja sebagai pembentuk kerajaan, tetapi juga pembentuk ‘peribadi’ atau ‘hegemoni’ ataupun masyarakat sivil. Hegemoni juga melibatkan tekanan peribadi, ke arah masyarakat sivil di mana ‘Pemerintah’ juga adalah negara.Hakikat yang perlu kita sedari bahawa penguasa ataupun golongan pemerintah akan selalu mencari jalan atau menggunakan taktik untuk terus-menerus memperoleh kuasa dan sebaliknya kelompok golongan yang tertindas hanya mapu membiarkan mereka terus ditindas tanpa melakukan bantahan[9].

Walaupun terdapat cubaan memberontak dikalangan golongan yang lebih radikal, namun tidak ada apa yang boleh dilakukan kerana pemerintah mempunyai kuasa dalam perundangan dan juga hukuman. Yang jelas pemerintah akan terus berusaha untuk bertahan dan terus berkuasa walaupun cara yang digunakan tidak selalunya betul dan menepati norma-norma kemanusiaan.

No comments: